Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, Bukit Aman rakam keterangan Sanusi esok

Dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, Bukit Aman rakam keterangan Sanusi esok

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata rakaman percakapan menteri besar Kedah dibuat mengikut seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata siasatan terhadap Menteri Besar Kedah Sanusi Nor adalah mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis akan merakam percakapan Sanusi Nor esok susulan kenyataan menteri besar itu bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, kata Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin.

Noorsiah berkata, polis menerima laporan polis berhubung kenyataan Sanusi itu dan susulan laporan tersebut satu kertas siasatan dibuka.

“Rakaman percakapan menteri besar Kedah di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah akan dirakam pada 7 Jun 2023 (Rabu).

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kes masih di peringkat siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan adalah berkaitan menyebarkan berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkait penyebaran kandungan dalam talian yang bersifat lucah, palsu, ataupun mengancam individu lain.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan polis sudah membuka kertas siasatan berkait dakwaan Sanusi dan kini sedang menunggu tindakan susulan oleh peguam negara.

Pada 29 Mei lepas, Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

“Kenyataan menteri besar Kedah tidak bertanggungjawab dan pihak polis telah mulakan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan mengambil tindakan sesuai agar menghindari kenyataan berterusan yang melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang.

“Sebahagian laporan telah dikemukakan kepada peguam negara dan sedang menunggu untuk diambil tindakan sesuai,” katanya di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.