DAP ada pengaruh besar dalam kerajaan, dakwa Dr M

DAP ada pengaruh besar dalam kerajaan, dakwa Dr M

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata DAP adalah parti tunggal terbesar dalam kerajaan.

Dr Mahathir Mohamad mendakwa 95% pengundi Cina membuang undi pada PRU15.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa DAP mempunyai pengaruh yang besar dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai parti tunggal terbesar dalam kerajaan.

Dalam catatan blog, Mahathir mengaitkan 40 kerusi Parlimen DAP dengan peratusan keluar mengundi yang “penting” dalam kalangan pengundi Cina.

Beliau mendakwa 95% pengundi Cina keluar membuang undi pada PRU15.

“Akibatnya, PH, dengan perwakilan bukan Melayu yang lebih besar, boleh mempunyai 82 ahli Parlimen. Sementara itu, walaupun menjadi penduduk majoriti, orang Melayu (tidak termasuk Melayu dalam PKR, DAP dan Amanah) hanya boleh memenangi 73 kerusi,” katanya.

Semakan di laman web Parlimen bagaimanapun menunjukkan terdapat lebih 73 ahli Parlimen Melayu.

Perikatan Nasional (PN) sahaja mempunyai 72 Ahli Parlimen Melayu, manakala Umno mempunyai 26. Terdapat juga lebih 10 Ahli Parlimen Melayu dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tahun lepas, Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia mempertikaikan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa kadar keluar mengundi Melayu lebih rendah berbanding kaum lain pada PRU15.

Welsh berkata, data yang dikumpulnya menunjukkan Melayu membentuk peratusan pengundi tertinggi berbanding kaum lain.

Menurut analisisnya, kadar keluar mengundi pengundi Melayu pada PRU15 adalah 79% daripada jumlah pengundi yang layak, diikuti oleh pengundi India (78%), pengundi Cina (69%) dan kaum lain (59%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.