
Beliau turut menamakan sokongan tersebut sebagai “gelombang anak muda” dan gelombang rakyat yang mahu membuat perubahan menjelang PRN.
“Saya kagum melihat sambutan hebat anak-anak muda dan golongan belia negeri ini yang datang dengan konvoi ribuan motosikal ke majlis ini.
“Saya yakin sokongan padu dalam kalangan orang muda yang sedang berlaku di seluruh negara pada hari ini akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada PN nanti,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Pada 16 Julai 2019, negara melakar sejarah apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
PRU15 menyaksikan penambahan 7.8 juta pengundi baharu dan daripada jumlah itu, 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun, sekali gus menunjukkan jumlah pengundi baharu mewakili 34% daripada keseluruhan pengundi.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan seluruh kepimpinan dah ahli parti dalam PN agar terus bekerja kuat, tidak terlalu yakin, dan sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi PRN.
“Jangan mudah berpuas hati, jangan lalai, dan teruslah berusaha dengan perhebat jentera parti di semua peringkat terutama rakyat akar umbi.
“Tahniah kepada seluruh kepimpinan dan jawatankuasa Pemuda PN yang berjaya menganjurkan perhimpunan ini dengan jayanya,” katanya.