Najib tarik balik rayuan untuk dokumen keluarga Zeti, Jho Low

Najib tarik balik rayuan untuk dokumen keluarga Zeti, Jho Low

Shafee Abdullah selaku peguam Najib Razak berkata beliau akan membangkitkan hal penzahiran dokumen semasa perbicaraan 1MDB dan rayuan berkaitan.

Bekas perdana menteri Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan dokumen berkaitan syarikat yang dikatakan dikawal keluarga bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz serta ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

Shafee Abdullah selaku peguam beliau memberitahu sidang tiga hakim yang dipengerusikan Abang Iskandar Abang Hashim bahawa penarikan balik itu dibuat tanpa prejudis.

“Kami akan membangkitkan perkara ini semasa perbicaraan 1MDB (di Mahkamah Tinggi) dan di peringkat rayuan,” katanya.

Shafee berkata pihak pendakwaan tidak akan membantah permohonan itu apabila saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.

Najib, yang hadir di mahkamah hari ini, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram atas jumlah yang sama.

Abang Iskandar, yang bersidang bersama Hakim Zabidin Diah dan Zabariah Yusof, kemudiannya menolak rayuan susulan penarikan balik itu. Pihak pendakwaan, diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, tidak mengemukakan bantahan.

Di luar mahkamah, Kamal memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap Najib meminta dokumen dikemukakan dalam perbicaraan, tetapi mahu membahaskannya.

Perbicaraan 1MDB akan disambung semula pada 7 Julai dan Zeti dijangka mengambil pendirian sebagai saksi pendakwaan.

Pada 8 Dis, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk mendapatkan dokumen itu dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Julai 2021.

Hakim Nordin Hassan berkata dokumen itu tidak relevan dengan tuduhan dihadapi bekas perdana menteri dalam perbicaraan jenayah 1MDB yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau juga berkata, Najib tidak berhak mendapatkan keterangan saksi yang ditemu bual polis dan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan.

Berkenaan mendapatkan telefon bimbit dan kata laluan bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner, Nordin berkata, pihak pendakwaan tidak memilikinya. Dalam keadaan itu, katanya, mahkamah tidak akan bertindak secara sia-sia.

Najib, 69, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang menolak dua permohonan untuk memaksa pihak pendakwaan menzahirkan dokumen-dokumen perbankan yang didakwa akan menunjukkan keluarga Zeti menerima wang daripada Low.

Najib juga mahu pihak pendakwaan menyediakan penyata perbankan daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, Acme Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan keluarga Low dan keluarga Zeti.

Bekas perdana menteri itu juga memfailkan permohonan lain untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group yang dimeterai pada 2020, dan transkrip laporan forensik atas telefon Leissner.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.