Jual dadah di media sosial, polis tahan 8 suspek

Jual dadah di media sosial, polis tahan 8 suspek

Polis Johor berjaya menahan semua suspek sindiket pengedaran dadah itu dalam beberapa serbuan, 26 Jun lalu.

Polis merampas dadah bernilai lebih RM900,000 dalam serbuan di Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas dadah bernilai RM926,644 dalam beberapa serbuan terhadap sindiket pengedaran yang menggunakan media sosial untuk menjualnya di Johor.

Sindiket dipercayai aktif sejak Mac lalu itu dikesan menggunakan botol minuman berjenama terkenal yang diisi dengan dadah berbentuk cecair sebelum dipasarkan sebagai taktik mengaburi mata pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Johor M Kumar berkata suspek terdiri daripada lima lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga asing itu ditahan dalam empat serbuan antara 12 tengah hari, 25 Jun hingga 3.20 petang, 26 Jun lalu.

Katanya, semua suspek termasuk dalang sindiket yang berusia antara 19 hingga 67 tahun itu ditahan bersama sejumlah dadah di beberapa rumah yang disewa mereka.

“Sindiket menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari pelanggan dan mereka yang ingin membeli akan menghubungi melalui aplikasi berkenaan sebelum melakukan urusan jual beli.

“Bagi tujuan penghantaran pula, sindiket akan meninggalkan dadah di sesuatu lokasi yang dipersetujui untuk diambil sendiri oleh pembeli,” katanya pada sidang media menurut Berita Harian.

Dadah yang dirampas adalah 10.65 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 914.2 gram ketamin, 118 pil ekstasi, 100 biji pil erimin 5, 5.85 liter cecair ekstasi serta 8.3 gram ganja.

Semua suspek direman tujuh hari hingga 2 Julai untuk siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.