PRN: Kerusi MCA, MIC tetap ditandingi BN, kata Zahid

PRN: Kerusi MCA, MIC tetap ditandingi BN, kata Zahid

Keputusan MCA dan MIC tidak bertanding pada PRN akan dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Zahid Hamidi menafikan MCA dan MIC memboikot BN pada PRN.
PUTRAJAYA:
Kerusi diperuntukkan kepada MCA dan MIC yang memutuskan tidak bertanding pada PRN akan ditandingi komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, kata pengerusinya Zahid Hamidi.

Bagaimanapun Zahid tidak menjelaskan lanjut sama ada kerusi itu akan ditandingi Umno atau rakannnya dikenali Friends of BN terdiri daripada Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia, Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Selain Umno, MCA dan MIC, BN turut dianggotai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang bagaimanapun lebih cenderung sebagai parti tempatan bertanding di Sabah.

Zahid yang juga presiden Umno berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 10 Julai.

“Kita sebenarnya telah tetapkan kerusi (untuk) MCA dan MIC, kalau itu keputusan mereka…kita akan bincangkan.

“Kalau tak nak ambil (MCA dan MIC tidak bertanding), (kita) akan letak (tanding) bawah BN,” katanya selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah.

Semalam, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk memfokuskan kepada proses pengukuhan parti.

Zahid menafikan dua parti itu memboikot BN dan menghormati serta yakin mereka mempunyai alasan sendiri.

“Mereka juga akan bantu kempen dan akan terus kerjasama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.