
Bagaimanapun, tertuduh, Esther Christina Samuel Ponniah, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis, menurut Utusan Malaysia.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang juga ibu tunggal didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas V Thanes Nair, 4, meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.
Kesalahan itu dilakukan di kolam renang di The Centro Club, Jalan Sri Klebang 2, Bandar Baru Sri Klebang dalam daerah Ipoh pada 10.20 pagi, 17 April 2023.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Syahirah Azahar mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Gary Xavier.
Terdahulu, Gary memohon jumlah jaminan sebanyak RM2,000 memandangkan anak guamnya merupakan ibu tunggal dan perlu menanggung ibu yang sudah uzur berusia 80 tahun.
Menurutnya, anak guamnya yang berpendapatan RM2,200 sebulan juga memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dan tiada risiko melarikan diri.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.
Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam renang yang terletak berhampiran premis berkenaan pada 18 April lalu sebelum meninggal dunia enam hari kemudian.