Permohonan semakan kes rasuah Bung, isteri didengar 7 Sept

Permohonan semakan kes rasuah Bung, isteri didengar 7 Sept

Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini telah memerintahkan pasangan itu membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat.

Bekas pengerusi Felcra Bung Moktar Radin didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta manakala isterinya, Zizie Izette, didakwa bersubahat dengannya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 Sept untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette bagi menyemak keputusan mahkamah rendah yang memerintahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat.

Hakim Azhar Abdul Hamid, yang menetapkan tarikh sebutan kes hari ini, turut mengarahkan pihak pendakwaan dan peguam pasangan itu memfailkan hujahan mereka selewat-lewatnya 4 Ogos.

Minggu lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan permohonan semakan pasangan itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi, dengan menyatakan ia tidak didengar oleh Mahkamah Tinggi tahun lepas kerana ditolak atas alasan teknikal.

Bung, bekas pengerusi Felcra, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra Bhd untuk melabur RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual, manakala Zizie didakwa bersubahat dengannya.

Mahkamah Sesyen pada September tahun lalu memerintahkan pasangan itu membela diri terhadap pertuduhan terbabit.

Selepas keputusan itu, Bung dan Zizie memfailkan usul memohon semakan terhadap perintah Mahkamah Sesyen oleh Mahkamah Tinggi.

Pasangan itu mendakwa hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan mereka menerima rasuah daripada dua ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar, yang merupakan saksi utama pendakwaan dalam kes itu.

Bung dan Zizie diwakili peguam M Athimulan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How hadir mewakili pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.