
Setiausahanya Ng Sze Han berkata agihan kerusi berkenaan, merupakan bilangan yang telah dipersetujui antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Kita yakin DAP mampu untuk mengekalkan rentak terbaik dengan memenangi kesemua kerusi yang disandang pada PRU14 sebelum ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Pada PRU14, DAP memenangi 16 kerusi DUN iaitu di Sekinchan, Kuala Kubu Baharu, Teratai, Dusun Tua, Balakong, Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Kota Kemuning, Banting dan Sungai Pelek.
Bagaimanapun, kerusi DAP berkurangan apabila Adun Teratai Bryan Lai Wai Chong, mengumumkan keluar parti untuk bergerak sebagai wakil rakyat bebas pada 2021 sebelum menyertai Warisan, tahun lepas.
Dalam pada itu, Ng yang sebelum pembubaran ialah Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri, menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi DUN Kinrara yang diwakili beliau selama dua penggal.
“Kalau diberi peluang (bertanding) di Kinrara, ya. Tetapi saya serahkan kepada keputusan akhir parti. Saya sentiasa tegaskan bahawa kesemua 16 kerusi ini bukan milik individu, tapi milik DAP dan PH,” katanya.
Kedudukan semasa kerusi sebelum DUN dibubarkan pada 23 Jun ialah PH mempunyai 40 kerusi merangkumi PKR (19), DAP (15), Amanah (enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan, masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.
Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas, setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.