‘Haramkan tangan’ undi BN, Annuar beritahu rakyat Kelantan

‘Haramkan tangan’ undi BN, Annuar beritahu rakyat Kelantan

Bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata undi BN di Kelantan adalah melabur saham kepada DAP.

Annuar Musa mendakwa tindakan pemimpin BN di Kelantan menjadi punca kejatuhan kerajaan PN dan MN. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa mengingatkan rakyat Kelantan termasuk ahli Umno di negeri itu “mengharamkan tangan” mengundi calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN 12 Ogos ini.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata undi BN di Kelantan adalah melabur saham kepada DAP.

“Hendaklah semua rakyat termasuk orang Umno sendiri mengharamkan tangan daripada memangkah dacing BN dan PH.

“Sepatutnya haram bagi kita semua memberi undi kepada Umno yang memberi sokongan dan undi mereka kepada DAP untuk perintah kita. Itu sebab kita orang Kelantan tidak boleh undi mana-mana calon BN,”  katanya.

Beliau berkata demikian dalam program munajat rakyat Kelantan pakat pertahan dan amanat pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Program turut dihadiri Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, timbalannya Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Annuar mendakwa, tindakan pemimpin BN di Kelantan menjadi punca kejatuhan kerajaan PN dan MN.

Beliau berkata, kesan daripada tindakan itu menyebabkan Kelantan kehilangan menteri dan timbalan menteri dari negeri tersebut termasuk dirinya yang sebelum ini menteri komunikasi dan multimedia dalam kerajaan PN.

“Apabila jatuhkan kerajaan, tujuh menteri tak dapat menyambung khidmat pada rakyat Kelantan…sekarang bawah kerajaan puak-puak mereka (BN) tiada seorang menteri dari Kelantan, rakyat Kelantan merana, rugi dan ketinggalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.