
Tertuduh, Nur Sari Fardiana Mohd Amran, 38, yang juga peniaga dalam talian membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, Nur Sari Fardiana didapati melakukan pengabaian dengan meninggalkan Airis Heidi Mohammad Hafiz dalam kereta hingga menyebabkan kematian di hadapan rumah di Ara Damansara, di sini, antara 8 pagi hingga 3.15 petang, 8 Nov.
Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
“Syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya menurut Berita Harian.
Bagaimanapun, peguambela Nur Sari Fardiana, Hanif Hassan, memohon jaminan di bawah RM5,000 selepas menyifatkan cadangan jaminan pendakwaan sebagai terlalu tinggi.
“Mangsa dalam kes ini adalah anak tertuduh. Sepanjang lebih sebulan ini, dia mengalami trauma dan perkara ini perlu diambil kira dalam menetapkan jumlah jaminan.
“Anak guam tidak dapat fokus kepada perniagaannya yang menyebabkan pendapatan merosot, selain tiada risiko melarikan diri dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan, selain menetapkan 30 Jan untuk sebutan semula kes.
Pada 9 Nov, Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata kanak-kanak itu meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta selama lapan jam.
Memetik laporan Harian Metro, ibunya terlupa menurunkan mangsa di tadika ketika berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian.
Fakhruddin berkata, ibu mangsa terus balik ke rumah dan hanya menyedari mangsa dalam kereta pada sebelah petang dalam keadaan kanak-kanak itu tidak sedarkan diri.