
Beliau didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytiharkan pemilikannya dalam 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan di sini, serta enam hartanah.
Daim juga didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan akaun Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Berhad dan tujuh kereta mewah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Dis 2023.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000.
Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM280,000 dengan seorang penjamin, serta mengecualikan Daim menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk pengurusan kes.
“Saya juga berharap pihak pendakwaan dan pembelaan tidak akan membuat sebarang ulasan mengenai kes ini,” kata hakim itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menetapkan jaminan antara RM250,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin kepada Daim.
Beliau turut meminta mahkamah memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya sementara menunggu proses perbicaraan dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.
Wan Shaharuddin juga menggesa mahkamah menasihatkan pihak pembelaan tidak membuat ulasan yang akan menjadi sub judice.
Peguam M Puravalen yang mewakili Daim membantah dengan berkata, tiada keperluan menyita pasport anak guamnya atau melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan kerana beliau pesakit pemindahan buah pinggang yang sedang menerima rawatan berterusan.
“Beliau mengalami strok ringan beberapa tahun lalu. Beliau juga mengalami kesukaran mendengar kerana ubat dan hanya mempunyai sebelah mata sekarang, selepas sebelah lagi dikeluarkan akibat jangkitan kulat.”
Minggu lalu, isteri Daim, Naimah Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen atas dakwaan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset SPRM.