‘Retain and regain’ strategi hadapi PRN, kata Zahid

‘Retain and regain’ strategi hadapi PRN, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata strategi itu dibincangkan bersama rakan politik yang membentuk kerajaan perpaduan.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata semua parti dalam kerajaan perpaduan akan berusaha mempertahankan kerusi dimenangi dan bekerja keras mendapatkan semula kawasan yang mereka tewas dalam pilihan raya sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Kombinasi “retain and regain” (pertahan dan rampas semula) akan menjadi strategi parti-parti di dalam kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata semua parti bukan sahaja akan berusaha untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi pada pilihan raya terdahulu, malah bekerja keras untuk mendapatkan semula kawasan-kawasan yang mereka tewas sebelum ini.

Timbalan perdana menteri berkata strategi berkenaan dibincangkan bersama rakan-rakan politik yang membentuk kerajaan perpaduan.

“Ini yang akan kita lakukan, ‘retain and regain’, dan perkara ini kita akan susun atur gerak bersekali dengan rakan-rakan politik lain, insya-Allah apabila kerusi DUN bubar akhir bulan ini, gerak kerja kita akan bertambah rancak,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata pembahagian kerusi antara parti di dalam kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau juga menegaskan gabungan itu mempunyai formula tertentu jika terdapat sebarang isu berbangkit seperti pertindihan kerusi.

Enam negeri yang akan berhadapan dengan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.