PRN Sabah ‘isyarat’ rakyat pilih parti tempatan mesra kerajaan perpaduan

PRN Sabah ‘isyarat’ rakyat pilih parti tempatan mesra kerajaan perpaduan

Setiausaha agung PH berkata, keputusan tunjuk rakyat Sabah mahu kerajaan negeri yang boleh kerjasama dengan persekutuan.

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution Ismail berkata, satu mesyuarat pada peringkat kerajaan perpaduan akan diadakan dalam masa terdekat untuk bincang keputusan PRN Sabah secara terperinci.
PETALING JAYA:
Keputusan PRN Sabah ke-17 baru-baru ini dilihat memberi isyarat bahawa rakyat Sabah cenderung memilih parti tempatan yang mesra dengan kerajaan perpaduan pada peringkat persekutuan.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu juga menunjukkan rakyat Sabah mahukan sebuah kerajaan negeri yang boleh berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan.

“Berbeza dengan penganalisis dan pengamat politik yang memberi ulasan tentang PRN Sabah, kami telah selesai menganalisis keputusan PRN Sabah mengikut saluran … bukan sahaja daerah mengundi, tetapi setiap saluran,” katanya selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah 2026 di Kulim hari ini, lapor Bernama.

“Sebenarnya, isyarat penting yang boleh kita pelajari ialah pertama, kuatnya rakyat Sabah memberi keutamaan kepada parti tempatan iaitu ‘Sabah for Sabahan’. Itu fakta nombor satu. Disebabkan sentimen ini kuat, maka penerima manfaat terbesar ialah dua pihak, iaitu GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan Warisan. Itu jelas.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, walaupun GRS dan Warisan mendapat sokongan tinggi dalam PRN itu, analisis mendapati kemenangan GRS mengatasi Warisan, sekaligus menjadi isyarat kemenangan kerajaan perpaduan.

“Betul, dari segi PH kita tidak banyak menang, tetapi yang jauh lebih penting ialah kemenangan perpaduan,” kata menteri dalam negeri itu.

Beliau berkata, satu mesyuarat pada peringkat kerajaan perpaduan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan secara terperinci keputusan PRN Sabah.

Pada PRN Sabah 29 Nov lepas, sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan, dengan GRS memperoleh kemenangan di 29 kerusi.

Sementara itu, Warisan memperoleh 25 kerusi, Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua), manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan PH masing-masing menang satu kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.