Elak isu perkauman; bantu tarik pelancong, menteri beritahu pembangkang

Elak isu perkauman; bantu tarik pelancong, menteri beritahu pembangkang

Tiong King Sing mendakwa mendapat aduan pelancong dari China yang tidak akan ke Malaysia jika isu perkauman terus dimainkan.

Tiong King Sing turut menggesa semua Ahli Parlimen hadir ke mesyuarat dianjurkan kementeriannya untuk memajukan destinasi pelancongan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menggesa pembangkang bekerjasama dengan kementeriannya, daripada terus memainkan sentimen perkauman yang akan menghalang kedatangan pelancong.

Tiong mendakwa beliau mendapat aduan daripada pelancong China yang memberitahu mereka keberatan melawat Malaysia kerana mendengar kenyataan berbaur perkauman dibuat segelintir pemimpin Perikatan Nasional (PN).

“Janganlah kita terlibat dalam tindakan yang memecahbelahkan perpaduan.

“Sejujurnya pelancong dari China beritahu kalau kita bercakap seperti itu, mereka tidak pasti mahu datang ke Malaysia,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat.

Menyatakan komitmen membantu destinasi pelancongan di semua negeri, Tiong berkata seruan itu perlu disahut dengan kehadiran Ahli Parlimen dalam mesyuarat dianjurkan kementeriannya termasuk sempena Bajet 2024.

“Apabila kementerian menjemput mereka untuk mesyuarat, ada yang tidak hadir.

“Sepanjang bajet ini, kita akan jemput ahli parlimen (yang terlibat dengan pelancongan), dan kita harap mereka dapat memberi kerjasama,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap sasaran kedatangan 16.1 juta pelancong pada tahun ini dapat dicapai.

Menurutnya, setakat minggu ketiga bulan lalu, Malaysia merekodkan kedatangan 12.7 juta pelancong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.