
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Khaled Nordin berkata keputusan rakyat ini harus dihormati semua pihak, sambil mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri baru.
“BN Johor terima PRU14 dengan hati terbuka. Di pihak BN Johor, kita sudah bekerja kuat sama ada di peringkat jentera dan sukarelawan, ahli dan penyokong parti berusaha sehabis baik.
“Namun suara demokratik rakyat harus dihormati sebaiknya. Kita komited untuk hormati keputusan ini. Selamat maju jaya kerajaan Johor baru semoga kerajaan baru dapat beri terbaik untuk bangsa Johor,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno Johor.
Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata partinya akan membuat kajian mengenai kekalahan parti BN.
Beliau percaya rakyat membuat keputusan dengan berfikiran sedar dan berharap janji PH ditunaikan kepada rakyat.
“Dalam negara demokrasi kita mesti sedia dengan segala apa yang berlaku, kita merancang tetapi Allah tentukan.
“Saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak dan kita hormati keputusan rakyat. Siapa ketua pembangkang kita akan putuskan kemudian,” katanya.
Khaled berkata beliau menghargai hasil usaha jentera partinya yang bertungkus lumus untuk BN.