
Tiga daerah yang terlibat dengan projek mega berkenaan ialah Muar, Batu Pahat, dan Iskandar Puteri, dengan reka bentuk dan lakaran stesen sudah pun disiapkan sejak tahun lalu.
Ketika pelaksanaan projek HSR diumumkan, rata-rata pakar ekonomi dan penganalisis hartanah menjangkakan harga rumah dan tanah sekitar kawasan stesen akan ‘melambung’, selain pelbagai projek komersial dan perumahan diumumkan.
Menurut sumber yang dekat dengan kerajaan negeri, kawasan sekitar stesen HSR di daerah terbabit menjadi “perbualan” ramai dan banyak pihak “berlumba-lumba” mahu memiliki kediaman di situ selepas pelaksanaan projek itu diumumkan.
“Di Batu Pahat dan Muar misalnya, banyak tanah dan rumah terjual dalam tempoh selepas lokasi ini dikenalpasti menjadi pembinaan stesen HSR, malah rumah di Muar juga ada yang mencecah sehingga RM450,000 dek kerana HSR yang bakal melalui kawasan ini,” katanya ketika ditemui FMT.
“Ahli perniagaan dan syarikat dari Singapura juga tidak ketinggalan meninjau kawasan tiga daerah ini, malah ada yang sudah melabur membeli rumah dan premis perniagaan berhampiran, dengan harapan dapat merasai kesan pembangunan HSR.”
Pada Sept 2018, Singapura dan Malaysia secara rasmi bersetuju untuk menangguhkan pembinaan HSR sehingga Mei 2020, dengan kerajaan Malaysia menanggung kos yang dipersetujui bagi menunda projek tersebut.
Bagaimanapun, pada Mac, persoalan sama ada projek HSR diteruskan atau tidak terjawab apabila Malaysia membayar RM320.27 juta kepada Singapura sebagai pampasan membatalkan projek berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, dan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung, dalam kenyataan bersama berkata, jumlah pampasan itu dipersetujui kedua-dua negara.
Sementara itu, ADUN Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata, selepas pembatalan projek itu diumumkan Mac lalu, pembangunan terutamanya projek perumahan selain industri di kawasan Sri Gading, berdekatan tapak cadangan pembinaan stesen HSR di Batu Pahat dilihat kembali perlahan.
“Dari segi pembangunan perumahan memang tiada, tetapi kalau industri di sekitar Sri Gading ini masih seperti biasa tidak nampak ada penambahan industri lain selain elektronik, perabot, dan tekstil.
“Kita juga boleh lihat bahawa dari segi penjualan rumah dan tanah sekitar agak perlahan selepas ura-ura sebelum ini mengatakan tapak stesen HSR dialihkan dari Sri Gading ke Ayer Hitam dan Kluang,” katanya.
Bagi ADUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad, kawasannya agak berbeza sedikit kerana sebelum wujudnya cadangan pembinaan HSR, Iskandar Puteri memang menjadi kawasan pembangunan utama dalam Iskandar Malaysia.
“HSR merupakan sebahagian daripada komponen di Kota Iskandar, dan ketika diumumkan dahulu memang ramai yang mahu melihat kemajuan projek ini sebab ia sistem pengangkutan canggih dan Iskandar Puteri pula menjadi stesen pertama di Malaysia dari Singapura.
“Memang wujud aktiviti pembelian tanah lebih awal di kawasan Iskandar Puteri, dengan harapan adanya HSR bukan sahaja harga tanah di situ naik tetapi kawasan di situ juga dapat dibangunkan seiring dengan stesen HSR,” tambah beliau.
FMT cuba mendapatkan angka dan situasi sebenar kesan pembatalan HSR di tiga kawasan di daerah berkenaan daripada Menteri Besar dan EXCO.