Bencana banjir rekod 14 korban setakat ini

Bencana banjir rekod 14 korban setakat ini

Lapan mayat ditemui di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang manakala empat lagi dilapor masih hilang.

Seramai 14 korban direkodkan dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tempoh 24 jam tanpa hujan lebat di beberapa negeri memberikan sedikit kelegaan dan kegembiraan buat mangsa terjejas banjir yang memasuki hari ketiga hari ini.

Namun cuaca panas itu yang membolehkan keadaan air di beberapa kawasan mulai surut turut membawa berita duka buat negara susulan angka korban akibat bencana itu turut direkodkan.

Lapan mayat ditemui di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang dengan empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.

Penemuan mayat itu menjadikan 14 orang terkorban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata, di Selangor selain kematian akibat banjir direkodkan di Shah Alam dengan empat kematian, daerah Kajang merekodkan dua kematian dan masing-masing satu di Sungai Buloh dan Sepang.

Satu mayat lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mangsa lemas pertama ditemui di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam pada 7.50 malam kelmarin.

Penemuan mayat bagaimanapun tidak terhenti di situ apabila pihak polis mengesahkan tiga lagi mangsa lemas ditemui maut dalam insiden banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, semua mayat lelaki dengan dua daripadanya ditemui pada 1 pagi sementara satu mayat ditemui pada 5 pagi tadi oleh orang awam dan pihak bomba ketika kerja-kerja menyelamat dilakukan dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, dua mayat lelaki ditemui di Dengkil dan satu mayat lelaki ditemui di Sepang hari ini, sementara satu mayat lelaki ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor semalam.

Selain itu, beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka dilaporkan berlaku di kawasan Taman Sri Muda yang mengalami banjir teruk dan dipercayai berlaku sekitar 1 tengah hari hingga 2 petang dan disahkan oleh Baharudin kepada Bernama.

Di Pahang pula, operator kilang M Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemui maut pada 2.22 petang Jumaat (17 Dis) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat jatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.

Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi semalam, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.

Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.

Mayat lelaki ditemui pada 1 tengah hari semalam manakala mayat tiga wanita ditemui pada 1.20 tengah hari, 2 petang dan 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.

Di Perak, meskipun cuaca diramal baik sehingga esok pagi di kebanyakan tempat namun pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan khasnya di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu di Terengganu, kebanyakan sungai utama di negeri itu berada di paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45m mengatasi paras bahaya 4m.

Di Kuala Lumpur, 371 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga PPS yang dibuka dan keadaan cuaca baik semalam menyaksikan 10 jalan yang sebelum ini ditutup kerana ditenggelami air dibuka kembali.

Di Kelantan, empat sungai utama berada pada paras bahaya, iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.67m, Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.10m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.29m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.19m).

Bagi Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Mohd Syukri Madnor berkata, mangsa banjir di negeri itu yang ditempatkan di PPS semakin menurun susulan keadaan cuaca baik semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.