
Saintis politik, Wong Chin Huat berkata, Rafizi mesti segera berbaik dengan kem Saifuddin Nasution, meyakinkan Presidennya, Anwar Ibrahim tentang kesetiaannya dan mendekati ahli sekutu Pakatan Harapan (PH) yang lain.
“Tidak cukup untuk beliau memenangi sokongan daripada akar umbi PKR dan pengundi di luar PH jika beliau tidak boleh bekerjasama dengan pemimpin lain dalam PKR dan pakatan pembangkang,” katanya kepada FMT.
Wong berkata, kemenangan Rafizi juga menunjukkan PKR telah keluar daripada bayangan Anwar. Walaupun Rafizi akan menyokong usaha Anwar untuk menjadi perdana menteri, pemimpin parti itu akhirnya terpaksa berundur untuk Rafizi.

Beliau berkata, kemenangan Rafizi sebagai timbalan presiden PKR akan menjejaskan strategi parti itu dan PH bagi pilihan raya umum akan datang kerana keutamaan Rafizi adalah untuk PH bersaing dengan idea berbeza, bukannya berpaut pada strategi lama “khemah besar”.
Istilah “khemah besar” digunakan untuk menggambarkan keutamaan Anwar dalam menyatukan semua parti pembangkang bagi menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
April lalu, Rafizi berkata, beliau menentang idea itu. Katanya, “Langkah Sheraton” pada Mac 2020 menunjukkan gabungan itu boleh dikhianati oleh rakan gabungan ketika itu, Bersatu.
“Jika Rafizi dapat meyakinkan PH, maka tiada ruang untuk berunding dengan Pejuang dan Warisan, manakala MUDA, pesaing kuat PKR – mungkin perlu membuat keputusan dengan cepat, sama ada akan menyertai PH,” kata Wong.
James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, cabaran terbesar Rafizi adalah untuk menyatukan parti itu dan mendapatkan semula sokongan ahli yang menyokong Saifuddin dalam pemilihan parti.
Katanya, Rafizi perlu menstruktur semula PKR untuk berada dalam kedudukan lebih kukuh bagi menentang BN dalam PRU15 memandangkan PKR menjadi “sangat lemah” selepas kalah dalam tiga pilihan raya negeri (PRN).
Chin berkata, walaupun Rafizi tidak sukakan pendekatan “khemah besar”, beliau belum memberikan butiran cara untuk memulihkan semula nasib PKR, terutamanya selepas kekalahan parti itu dalam PRN Melaka, Johor dan Sarawak.
“Semuanya bergantung kepada bila PRU akan datang diadakan, jadi beliau tidak ada banyak masa lagi.”
Beliau berkata, kemenangan Rafizi adalah keputusan baik buat PKR kerana “semua orang faham” parti itu memerlukan reformasi mendalam dan asas, jika ia mahu memenangi PRU15.