
Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu berlaku akibat perselisihan faham antara suspek dengan Jagdeep ketika berada di kawasan parkir restoran tersebut.
“Setakat ini siasatan polis mendapati kejadian itu tidak berkaitan politik atau dendam membabitkan mereka berdua, malah suspek, iaitu lelaki warga asing berumur 60 tahun itu juga tidak mengenali ADUN berkenaan.
“Siasatan awal mendapati pada mulanya berlaku perselisihan faham antara mereka dan kejadian itu (mangsa diserang dan dicederakan) berlaku sangat pantas serta secara tiba-tiba sahaja,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian Jagdeep cedera selepas dipercayai diserang seorang suspek dalam kejadian Jumaat lepas.
Shuhaily berkata, semasa kejadian itu, suspek dan mangsa datang menjamu selera di restoran tersebut dengan keluarga masing-masing dan lelaki warga asing yang menjalankan perniagaan di Pulau Pinang terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat reman dua hari.
Katanya, kertas siasatan kes telah diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut sama ada semasa kejadian suspek berada dalam keadaan mabuk atau tidak…lelaki itu turut membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan,” katanya selain menambah bahawa anggota Exco tersebut masih dirawat di sebuah hospital swasta di sini.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, Jagdeep berada di sebuah restoran di Tanjung Bungah di sini apabila seorang lelaki dipercayai warga asing tidak dikenali menghampirinya dan kemudian menolaknya sehingga terjatuh.
Susulan kejadian itu, ahli politik berusia 51 tahun itu mengalami kecederaan patah pergelangan kaki kirinya dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang sedang mengesan empat lagi lelaki yang disyaki ahli kumpulan jenayah terancang Geng Chandra yang menjalankan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah rentas negara.
Beliau berkata, empat lelaki itu terdiri daripada dua lelaki tempatan, iaitu K Harivin Raj, 25, dan B Jagandran, 47, serta dua lagi lelaki warga asing dikenali sebagai Juanda dan Afrizal.
”Seramai 14 ahli kumpulan ini telah ditahan menerusi Op Cantas Tanjung 3 pada 25 Mei lalu dan mereka telah didakwa di mahkamah kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang yang disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Kumpulan ini termasuk empat lagi suspek yang sedang diburu polis dipercayai menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan dadah ke negara jiran serta memiliki senjata api dan telah bergiat aktif sejak 2021,” katanya.