
“Ini bagi memastikan kebarangkalian ruang kecuaian atau penipuan dapat diambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan simpanan pendeposit,” katanya dalam kenyataan.
“Kami memohon polis menyegerakan siasatan bagi memastikan mana-mana pihak terlibat dapat didakwa dan hak pengguna dapat diberi pembelaan sewajarnya.”
Katanya, kes itu melibatkan pendeposit dalam kalangan warga emas dan pesara yang menggunakan simpanan bagi urusan pendidikan, perubatan dan kehidupan harian mereka.
Ia susulan kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor Sasikala Devi Subramaniam semalam yang menyangkal dakwaan Santiago bahawa tiada tindakan diambil berhubung kes itu.
Beliau berkata, kes sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.
Katanya, JSJK melalui bahagian pengubahan wang haram juga sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
FMT minggu lalu melaporkan bahawa Santiago menggesa sebuah bank di Klang menjawab dakwaan 40 pemilik akaun premium yang terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit akibat penipuan yang didakwa didalangi oleh salah seorang pegawai bank itu.
Santiago berkata, tiada tindakan diambil sejak enam bulan lalu selepas aduan dibuat kepada bank, polis dan Bank Negara (BNM).