MKN lebih `kuat’ daripada ISA – Tun M

majlis-keselamatan-negara

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan dua akta yang mempunyai banyak perbezaan.

Menurut, ISA hanyalah suatu akta yang akan digunakan jika sesuatu perkara itu benar-benar mengancam keselamatan negara manakala, MKN pula memberi lebih kuasa hingga Perdana Menteri boleh menidakkan peranan Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau ISA, kita mempunyai hak dalam keadaan darurat. Tetapi MKN pihak Perdana Menteri boleh isytihar kawasan itu sebagai kawasan keselamatan dan sudah boleh ambil tindakan,” ujarnya dalam satu wawancara eksklusif bersama FMT.

Mengulas lanjut, bekas Presiden UMNO itu juga melihat Najib tidak pernah memberi jaminan untuk tidak menyalahgunakan undang-undang berkenaan memandangkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA telah disalahgunakan.

“Jadi, apa dia (Najib) jaminan salah guna undang-undang tidak akan berlaku memandangkan apa yang sudah dilakukan di bawah SOSMA,” ujarnya lagi.

Tambah Dr Mahathir lagi, sewaktu beliau menggalas tugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, tindakan pertama yang beliau lakukan adalah melepaskan 21 tahanan yang ditahan bawah ISA kerana politik.

“Berkenaan dengan ISA juga, saya bila jadi Perdana Menteri pada tahun 1981, tindakan pertama saya adalah melepaskan 21 orang yang ditahan bawah ISA kerana politik. Yang ditahan kerana jenayah itu saya tidak lepaslah,” tegasnya.