Anina jual baju kurung lepas gagal saman PM

Anina jual baju kurung lepas gagal saman PM

Setiap baju kurung Kedah rekaan beliau mengambarkan semangat perjuangannya menentang Najib.

anina
PETALING JAYA: Selepas berhenti menjadi pensyarah, Anina Saadudin beralih arah untuk berdikari dengan menceburi bidang perniagaan bagi menyara kehidupan dan keluarga.

Bekas pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) itu berkata, beliau kini sedang bertukus lumus memastikan rekaan baju kurung Kedah oleh beliau ke pasaran tempatan bulan depan.

“Sebagai seorang ibu, saya bertanggungjawab untuk memastikan kehidupan keluarga saya tidak terganggu atau terbeban dengan keputusan saya melepaskan jawatan hakiki (pensyarah).

“Saya sendiri yang memilih fabrik, corak, rekaan, pemilihan tukang jahit, perincian dan gaya. Saya curahkan rasa cinta saya pada tradisi wanita Kedah sejak dahulu kala pada rekaan ini.

“Saya mahu pastikan wanita yang memakai kurung Kedah label saya akan merasai sentuhan peribadi saya yang mengutamakan jiwa “ethnicity and authenticity” dengan aksesori tradisional Melayu seperti dokoh serta manik dari hutan Borneo. Rekaan saya adalah peribadi saya. Ianya rekaan berjiwa semangat perjuangan saya,” tulisnya menerusi akaun Facebooknya.

Bekas ahli wanita UMNO Langkawi itu berkata, beliau akan terus mencurah bakti sebagai pensyarah separuh masa di universiti swasta, di samping menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan pasaran.

Mengulas lanjut, Anina terus mencabar Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan Perdana Menteri sekiranya Presiden UMNO itu bertanggungjawab atas skandal yang dilemparkan.

“Jika saya mampu menjaga diri sendiri dan berusaha berniaga dengan titik peluh sendiri, kenapa Perdana Menteri mahu 30 juta rakyat berkorban untuk dirinya hanya kerana beliau anak kepada Tun Abdul Razak?,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.