Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail, mendakwa ATM masih tidak mengambil sebarang usaha bagi menyelesaikan isu gaji pemain tertunggak.
Katanya, selain ATM, gaji lima pemain Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masi tertunggak melibatkan sejumlah RM477,000, dan sejumlah RM220,000 yang melibatkan pampasan yang dituntut pemain Felda United (FUFC), Azrul Ahmad.
“Sehingga hari ini, ATM masih tidak menunjukkan usaha yang baik untuk menyelesaikan masalah ini dan membayar gaji yang tertunggak, malah pasukan yang terlibat juga tidak memberi sebarang jawapan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap prosedur FAM kerana jawatankuasa status badan bola sepak negara terpaksa mengambil masa sehingga 100 hari untuk mendengar perkara itu.
“Jawatankuasa satus FAM ambil masa 100 hari untuk memberi maklum balas, bukan menyelesaikannya.
“Ini sangat-sangat tidak baik untuk pemain dan semua pihak yang mahukan pembelaan jawatankuasa status FAM,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemain bola sepak yang terbabit tidak bercadang untuk melaksanakan mogok susulan keengganan pasukan membayar gaji mereka.
