Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata pihaknya difahamkan bahawa DBKL akan memanggil satu mesyuarat dengan syarikat utiliti esok.
“Difahamkan DBKL ada panggil mesyuarat pada 12 haribulan (esok).
“12 haribulan ini baru ada mesyuarat dengan butir-butir terma dan syarat-syarat. Kami tak dapat komen sekarang ini mungkin. InsyaAllah 15, 16 hari bulan boleh komen kot,” katanya kepada Free Malaysia Today, di sini, hari ini.
Pada 9 Feb lalu, DBKL memutuskan syarikat utiliti tidak lagi dibenarkan untuk membuat kerja menurap jalan yang mereka korek.
Sebaliknya, kerja penurapan itu akan dilaksanakan sepenuhnya oleh DBKL dengan kos turapannya akan ditanggung oleh syarikat utiliti terbabit.
Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, Sabudin Mohd Salleh dilaporkan berkat,a untuk tujuan turapan sahaja, DBKL telah melantik 24 kontraktor untuk melakukan kerja berkenaan di ibu negara.
Katanya, keputusan diambil selepas pihaknya mendapati faktor utama yang menyebabkan masalah jalan berlubang ialah kaedah penurapan jalan tidak sempurna yang dilakukan syarikat utiliti yang bertanggungjawab mengorek lubang selain pembangunan berterusan yang sentiasa berlaku di sekitar ibu kota.
