
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kos penajaan berkenaan membabitkan seramai 744 pelajar.
“Jumlah kos yang dijimatkan bila kerajaan membatalkan 744 biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah sebanyak RM240 juta setahun,” katanya menerusi jawapan lisan di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok meminta kerajaan menyatakan anggaran kos dijimatkan apabila kerajaan membatalkan biasiswa pelajar ke luar negara serta jumlah pelajar di luar negara di bawah tanggungan kerajaan.
“Sehingga kini, jumlah pelajar yang belajar di luar negara di bawah tanggungan kerajaan adalah seramai 7,736 orang.
“Antara kos penajaan bagi seorang pelajar dalam negara adalah antara RM10,350 hingga RM12,690 setahun. Anggaran kos penajaan bagi pelajar luar negara pula adalah antara RM38,115 hingga RM277,515 setahun,” tambah Azalina.