Sehubungan itu, UKM wajar mengambil berat mengenai kesusahan dialami Orang Asal Bukit Tungguk selepas pengorbanan mereka pada tahun 1970-an itu.
Mantan Prof Madya dan Sarjana Tamu di UKM, Dr Mohamed Salleh Lamry, berkata UKM dicadangkan supaya turun padang membantu Orang Asal Bukit Tunggul di Dengkil, Sepang.
“Dahulu Orang Asal Bukit Tunggul ini tinggalnya di UKM. Mengikut rekod mereka sudah berada di tanah yang kini adalah kampus UKM sejak sebelum Perang Dunia Pertama lagi.
“Namun mereka dipindahkan pada tahun 1970-an kerana mahu memberi laluan kepada pembinaan kampus UKM,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT di sini, semalam.
Katanya, UKM boleh membantu Orang Asal Bukit Tunggul menerusi pelbagai program kemasyarakatan dan juga penyelidikan.
“Mungkin juga boleh kita buka sedikit ruang untuk anak-anak Orang Asal ini belajar dan elok kalau pelajar UKM bercampur dengan mereka.
“Kena kenang jasa Orang Asal sanggup berpindah dan hidup susah hanya kerana UKM hendak dibina di lokasinya sekarang,” katanya.
Baru-baru ini, FMT mendedahkan Orang Asal Bukit Tunggul hidup tanpa kemudahan elektrik dan air bersih walaupun kedudukan kampung mereka tidak sampai lima kilometer dari Putrajaya.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam kenyataannya dipetik sebagai berkata, ketiadaan kemudahan asas itu disebabkan tanah mereka yang diduduki sekarang sudah dipunyai Bukit Unggul Golf & Country Resort (BUGCR) sejak tahun 1993.
JAKOA dalam kenyataannya menyebut, BUCGR selaku pemilik tanah tidak membenarkan bekalan elektrik dan air bersih disalurkan kepada Orang Asal Bukit Tunggul.
