Pengakuan WSJ bukti laporan berat sebelah

Pengakuan WSJ bukti laporan berat sebelah

Menyatakan bahawa sebahagian dana RM2.6 bilion dari Arab Saudi adalah langkah awal untuk mengakui laporan mereka selama ini berdasarkan maklumat salah.

wsj_Arab-Saudi_money_ringgit_600

PETALING JAYA:
Pengakuan The Wall Street Journal (WSJ) bahawa sebahagian dana RM2.6 bilion datang dari Arab Saudi sudah cukup membuktikan media antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berat sebelah dalam laporannya.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin berkata, pengakuan WSJ itu juga membuktikanlaporan mereka berdasarkan maklumat salah yang diberikan kumpulan anti-Najib khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Laporan WSJ bukan berdasarkan fakta sebenar apabila menafikan keputusan Peguam Negara yang membuat keputusan selepas siasatan menyeluruh termasuk menemubual keluarga Diraja Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tengku Sarifuddin berkata, WSJ mungkin malu dengan laporan tidak tepat itu sehinggakan perlu menunggu sehingga setahun untuk mengaku sebahagian dana yang dimasukkan dalam akaun peribadi Najib datang dari Arab Saudi.

“Bagaimanapun, hari ini adalah satu langkah awal ke arah WSJ mengakui bahawa mereka telah salah selama ini dan mereka salah kerana mengeluarkan laporan berasaskan sumber-sumber yang diada-adakan dan mungkin tidak pernah wujud,” katanya.

WSJ pernah membuat dakwaan dana RM2.6 bilion bukan datang dari keluarga Diraja Arab Saudi tetapi sumbangan daripada pelbagai syarikat berkaitan 1MDB.

Dakwaan WSJ itu dibuat selepas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ‘membersihkan’ nama Najib daripada sebarang tuduhan jenayah.

Bagaimanapun, WSJ dalam laporan terbaharu mendedahkan sepucuk surat yang didakwa daripada Putera Saud Abdul Aziz Majid yang mengaku memberikan USD$375 juta kepada Najib untuk dibelanjakan mengikut pertimbangan beliau.

Surat bertarikh 1 November 2011 itu menyebut “hadiah” itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kerja-kerja dilakukannya dalam “mentadbir Malaysia berdasarkan prinsip-prinsip Islam”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.