Dana kerajaan: Pegawai KBS didakwa rasuah RM38.4 juta

Dana kerajaan: Pegawai KBS didakwa rasuah RM38.4 juta

Othman Asrhad didakwa mengguna kedudukan dan membuat tuntutan palsu berjumlah RM38.4 juta.

kbs-court-2

KUALA LUMPUR:
Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini, atas 32 tuduhan salah guna kedudukan dan membuat tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta, empat tahun lalu.

Otman Arsahd, 57, mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Allaudeen Ismail.

Otman didakwa melakukan semua perbuatan itu di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, antara 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.

Sebanyak 17 tuduhan membabitkan tuntutan palsu dibuat mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 15 lagi tuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara 10 tahun dan lima kali nilai suapan atau mana lebih tinggi.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menyerah pasport antarabangsa dan geran tanah.

Tertuduh ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM107 juta.

SPRM telah menahan sembilan suspek pada 18 Mac lalu termasuk tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Amir Nasaruddin manakala tertuduh diwakili Izam Kamal Ismail dan Fariq Abdul Aziz.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa baru-baru ini memaklumkan, tertuduh telah ditahan kerja mengikut peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan tatatertib).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.