
PETALING JAYA: Selepas mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana didakwa tersasar perjuangan asal PAS, Pendebat Terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengubah pendirian dan mengakui perjuangan PAS sama dengan Deklarasi Rakyat.
Katanya, perjuangan parti itu Islam itu tidak lari daripada perjuangan Deklarasi Rakyat yang mahu menyelamatkan Malaysia dan membuat reformasi institusi.
Syed Saddiq membuat pengakuan itu selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama pemimpin Dewan Pemuda PAS tentang hala tuju sebenar perjuangan parti itu pada 1 April lalu.
Katanya, PAS juga menentang kerajaan pimpinan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan gejala rasuah serta salah guna kuasa dalam mentadbir negara.
“Saya telah pun mendapat pencerahan tentang hala tuju PAS. Saya cukup bersyukur bahawa perjuangan kami dan perjuangan PAS mempunyai matlamat yang sama iaitu reformasi institusi.
“Saya juga menghormati keputusan PAS untuk tidak menyertai Deklarasi Rakyat, walaupun tidak ada penyertaan secara langsung, PAS akan tetap memberi tekanan kepada kerajaan semasa untuk melakukan perubahan demi negara yang kita cintai ini, terutamanya dalam isu rasuah dan pecah amanah,” katanya menerusi posting terbaharu Facebooknya.
Sebelum ini, Syed Saddiq meluahkan rasa kecewa beliau tehadap PAS di bawah kepimpinan Hadi kerana dikatakan tidak serius menentang isu skandal skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai gegala rasuah.
Malah, dia mengakui keluarganya tidak akan lagi mengundi PAS pada pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Saya terima akhbar Harakah (lidah rasmi PAS) dan saya berjanji akan membelek dan membaca sendiri satu demi satu segala artikel yang ditulis berkenaan DS Najib Razak,1MDB,pecah amanah,campur tangan dalam siasatan.
“Moga dengan cara ini, saya akan tahu dengan lebih jelas tentang pendirian PAS terhadap kepimpinan Hadi,” tambah Syed Saddiq yang juga penuntut tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Syed Saddiq antara individu yang menandatangani Deklarasi Rakyat dan sering diwar-warkan ikon yang mewakili golongan muda negara ini.