Agamawan tidak boleh diberi kuasa mutlak – Hadi

Agamawan tidak boleh diberi kuasa mutlak – Hadi

Sistem demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat merupakan sistem yang paling dekat dengan nilai-nilai Islam

hadi-pas-sarawak

MIRI:
Parti Islam Se-Malaysia mengakhiri malam pertama kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak dengan berkata pemerintahan teokrasi dan kediktatoran bercanggah dengan Islam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS meraikan sistem demokrasi yang menurutnya bersesuaian dengan Islam.

“Sistem diktator memberikan kuasa mutlak kepada seorang atau sekumpulan yang memerintah, rakyat tiada hak. Ini bercanggah dengan Islam.

“Teokrasi juga bercanggah dengan Islam. Dalam masalah politik, paderi, sami dan selepas itu ulama, tidak boleh diberi kuasa mutlak.

“(Dalam) sistem demokrasi, hak diberi kepada rakyat, ini (sistem) paling dekat dengan Islam,” katanya kepada kira-kira 50 hadirin di Majlis Pelancaran Manifesto PAS bagi DUN Pujut dan Lambir, di Saberkas malam tadi.

Manifesto empat perkara yang dilancarkan Hadi kelihatan disesuaikan kepada PRN Sarawak, siap dengan ikrar untuk tidak mengganggu gaya hidup dan budaya penduduk setempat.

Dengan pelancaran manifesto itu, Hadi dalam ucapannya berkata tiada sebab untuk warga Sarawak menolak konsep Islam PAS, memandangkan rakyat Bumi Kenyalang boleh menerima sistem asing bawaan parti-parti lain.

Beliau dalam pesanannya berkata DAP membawa sosialisme dengan tokoh seperti Karl Marx antara lain, manakala BN pula membawa kapitalisme yang dipelopori Adam Smith.

“(Tokoh-tokoh) Ini bukan Iban, Cina, Melayu. Mengapa kita boleh terima (sistem itu)? Jadi mengapa orang Islam dan bukan Islam tidak boleh terima (sistem) Islam (yang dibawa PAS)?” soalnya, yang tampak lebih yakin berbanding seterunya, Lim Kit Siang yang berada di Kuching.

Membezakan PAS daripada parti pembangkang lain, Hadi berkata PAS mahu menjadi pembangkang yang membina dan bukan membangkang semata-mata.

“Ada yang kata untuk apa tanding di 11 kerusi, tidak boleh jadi kerajaan negeri. Kira boleh jadi penasihat kepada kerajaan negeri.

“Ada yang ingin jadi pembangkang yang melulu. Kita bukan pembangkang yang melulu. Perkara baik (oleh kerajaan) kita sokong, tak baik kita kritik,” ujarnya..

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.