PAS bukan IS- bekas ADUN DAP kepada pengundi Cina

PAS bukan IS- bekas ADUN DAP kepada pengundi Cina

Calon PAS Pujut Jofri Jaraiee berkata kehadiran Sum Cheok Leng sangat membantu kempennya di kawasan majoriti Cina.

Sum Cheok Leng

MIRI:
Bekas ahli DAP yang kini ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sum Cheok Leng terkilan selepas mendapati masih ada masyarakat Cina yang menganggap PAS sebagai parti ekstrem, malah mengaitkannya dengan pengganas Islamic State (IS)/ DAESH.

“Saya jawab, (pihak berkuasa) tangkap ramai orang yang berkaitan dengan IS (DAESH), tetapi tiada seorang antara mereka adalah ahli PAS.

“Macam mana boleh samakan dengan PAS? PAS adalah parti yang sah,” katanya selepas sesi bertemu pengundi di kedai-kedai sekitar Krokop, di sini pagi tadi.

Katanya lagi, kebanyakan pengundi yang ditemuinya menerima baik jawapan yang diberikan.

“Saya minta mereka berikan peluang kepada PAS. Ini adalah parti yang sangat bersih,” katanya lagi.

Bekas Adun Bercham penggal 2008-2013 itu tiba di Miri semalam dengan misi membantu kempen PAS di kawasan majoriti Cina di sini.

Dalam pada itu, calon PAS Pujut Jofri Jaraiee berkata kehadiran Cheok Leng sangat membantu kempennya di kawasan majoriti Cina, apatah lagi tempoh kempen berbaki dua hari sahaja lagi.

DUN Pujut memiliki 68 peratus pengundi Cina dan 32 peratus pengundi Bumiputera.

Malam ini, PAS termasuk Cheok Leng akan mengadakan ceramah bergerak, dan salah satu destinasi mereka adalah Pusat Komersial Boulevard – lokasi ceramah utama DAP dan calon Bebas yang juga bekas ahli DAP, Fong Pau Teck.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.