Tiada ADUN PAS lompat ke AMANAH

Tiada ADUN PAS lompat ke AMANAH

Mohd Amar berkata, ia hanyalah propaganda Pengerusi AMANAH Kelantan untuk mencetuskan kelam-kabut dalam PAS.

nik-amar

PETALING JAYA:
Tiada ADUN PAS yang akan melompat ke AMANAH, susulan pemecatan bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa oleh parti Islam itu.

Sebaliknya kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ia sekadar propaganda Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah untuk mencetuskan kelam-kabut dalam PAS.

“Saya percaya tiada ahli PAS yang akan lompat parti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Minggu lalu, Wan Rahim dilaporkan sebagai berkata, beliau sedia melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Husam menerajui AMANAH Kelantan.

Katanya, AMANAH juga bakal mengumumkan 10 ADUN PAS yang akan menyertai parti itu, selepas Husam mendapat surat rasmi pemecatannya daripada parti Islam itu dan ia bukanlah cakap kosong semata-mata.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Tatatertib PAS mengumumkan pemecatan Husam yang juga ADUN Salor daripada PAS berkuat kuasa 23 April lalu, kerana melanggar Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f) Perlembagaan PAS.

Husam sebelum ini dilihat lantang menyerang parti dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutamanya dalam isu kerjasama PAS dan UMNO serta pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Husam boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa PAS Pusat dalam tempoh sebulan dan jika rayuannya tidak diterima, beliau boleh membawa rayuan itu ke Majlis Syura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.