Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, laporan tersebut telah dihantar hari ini untuk menggesa SPRM menyiasat masalah banjir yang membelenggu Klang sejak 10 tahun lalu.
Banjir yang melanda Klang pada 15 Mei lalu paling teruk sehingga menyebabkan lebih dua pertiga kawasan Parlimen Klang ditenggelami air.
Menurutnya lagi, banjir itu telah menyebabkan kira-kira 20 taman perumahan, bank, premis perniagaan terjejas.
“Persepsi dalam kalangan rakyat bahawa kekerapan banjir berlaku kerana terdapat unsur-unsur rasuah dan penyelewengan dalam agensi kerajaan yang menyelenggara sistem saliran.
“Ia seperti MPK serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Charles mengusulkan isu banjir ini di Parlimen pada 18 Mei lalu dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menjelaskan MPK tidak mengguna pakai garis panduan yang ditetapkan kerajaan, iaitu Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang dikuatkuasakan pada 2000.
“Kelemahan MPK untuk mengawal selia kerja pemaju-pemaju untuk mengurus pengaliran kelodak mengikut ‘Erosion Sidement Control Plan’ telah menyebabkan banjir di Klang,” jelasnya.
Cubaan FMT untuk menghubungi Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin bagi mendapatkan penjelasan dan respons berhubung dakwaan dalam laporan Charles itu bagaimanapun gagal.
