“Saya seperti hidup semula” – Ameng Spring

“Saya seperti hidup semula” – Ameng Spring

Beliau merancang mengadakan kelas mengaji Al-Quran buat rakan artis yang berminat.

Spring-vokalis-Ameng

KLUANG:
“Saya seperti hidup semula,” luah vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail selepas dibebaskan dari Penjara Kluang, di sini semalam.

Ameng, 48, dibebaskan kira-kira 12 tengah hari selepas menjalani hukuman penjara lebih lima tahun akibat penyalahgunaan dadah, dan dia disambut isterinya Sabariah Zakariah, 46, dan anaknya Wan Amar Haikal, 9, di depan pintu penjara.

Ameng yang ditemui pemberita berkata dia bersyukur mendapat pembebasan hari ini setelah melalui pelbagai episod sukar di sebalik tembok batu.

Malah, Ameng berkata dia cukup yakin untuk menempuh dunia luar dengan berbekalkan ilmu agama yang dipelajarinya selama ini.

“Pada awalnya, saya rasa gagal untuk memulakan hidup baharu tetapi dengan rahmat Allah, semangat kawan-kawan, keluarga dan semua pihak, saya berjaya mengharungi tempoh sukar.

“Saya bersyukur kerana segalanya selesai dan hidup sihat tanpa ada apa-apa masalah sampingan,” katanya yang terkenal dengan lagu ‘Sampai Hati’.

Ameng berkata pengalaman berada di penjara turut menyebabkan dia semakin menyayangi keluarga terutama isterinya yang tidak kenal erti putus asa dalam mengharungi pelbagai ranjau untuk melihatnya kembali ke pangkal jalan.

“Boleh dikatakan, cinta saya terhadapnya sebelum ini mungkin tidak 100% tetapi setelah masuk penjara, saya lebih mengenalinya dan menjadi lebih kuat,” katanya.

Ameng memberitahu dia merancang untuk meneruskan kerjayanya selepas ini bagi menebus kembali kerugian yang disia-siakannya sebagai artis selama dipenjarakan.

“Saya juga merancang untuk mengadakan kelas mengaji Al-Quran buat rakan-rakan artis yang berminat memandangkan saya sudah boleh mengajar dan menghafal juzuk Al-Quran, sembahyang jenazah, marhaban dan lain-lain,” katanya.

Ameng berkata dia menasihatkan masyarakat termasuk rakan artis, agar tidak terjerumus ke dalam kancah jenayah kerana menyifatkan pengalaman bergelar banduan adalah sangat memeritkan.

“Apabila dipenjara, kita akan rasa kehilangan segala-galanya termasuk keluarga, harta, kemasyhuran dan lain-lain.

“Tidur juga terpaksa di atas simen dan makanan berlaukkan tempe tanpa berkuah. Pakaian pun cuma satu, itu pun tidak berwarna-warni,” katanya yang turut tidak sabar meraikan kehadiran Syawal ini bersama keluarga di Melaka.

Pada 12 April 2011, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka kerana kesalahan dadah, namun, kerana berkelakuan baik, tempoh tersebut dipendekkan.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.