Penjaja warga asing mewah dengan peralatan

Penjaja warga asing mewah dengan peralatan

Jumlah peralatan perniagaan penjaja warga asing yang disita sepanjang Januari hingga Ogos hampir menyamai jumlah sitaan sepanjang tahun lepas

Mustafa Mohd. Nor
KUALA LUMPUR: Jumlah peralatan perniagaan penjaja warga asing yang disita sepanjang Januari hingga Ogos hampir menyamai jumlah sitaan sepanjang tahun lepas, menurut kenyataan DBKL.

Di sidang media di pejabat DBKL berhampiran Jalan Tun Razak petang tadi, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Mustafa Mohd Nor berkata peningkatan ini adalah hasil kempen pembanterasan yang agresif.

“Sepanjang Januari hingga Ogos 2016 sebanyak 4,154 barangan penjaja warga asing telah disita dan tahun 2015 sebanyak 5,057 disita.

“Peningkatan penangkapan ini menunjukkan DBKL benar-benar serius untuk membendung penularan peningkatan penjaja asing di Kuala Lumpur,” katanya, dan menambah DBKL menjangkakan lebih 5,000 peralatan akan disita tahun ini.

Ditanya pemberita mengenai faktor penularan penjaja warga asing, DBKL percaya kini lebih ramai pemegang lesen warga tempatan menyewakan perniagaan mereka kepada pengusaha warga asing.

Pemerhatian DBKL mendapati kebanyakan warga Indonesia terbabit dalam kegiatan kedai runcit manakala warga India, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Thailand cenderung ke arah perniagaan makanan dan minuman.

“Selain itu, kadar upah warga asing yang rendah dan sukarnya mendapatkan tenaga kerja daripada warga tempatan antara faktor utama,” katanya.

Mustafa menambah, tindakan ke atas penjaja terbabit akan diambil mengikut Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1989, undang-undag Kecil Pasar 1984 dan Undang-undang Kecil Pasar Borong 2002.

“Penjaja berlesen yang menggunakan khidmat warga asing akan diambil tindakan batal lesen tanpa alasan dan seterusnya menyita barangan mereka.

“Manakala penjaja yang didapati bersengkongkol dengan warga asing dalam urusan penjajaan akan disalurkan kepada agensi sahabat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.