Selangor sebenarnya bantu rakyat Negeri Sembilan, kata exco

Selangor sebenarnya bantu rakyat Negeri Sembilan, kata exco

Rakyat Negeri Sembilan yang berhijrah ke Selangor untuk menikmati kebajikan Selangor seperti apa yang berlaku di Kuala Lumpur, di mana lebih 70% warga kota berhijrah ke Selangor, tahun lalu.

Teng-Chang-Khim-mat-hassan
PETALING JAYA:
Exco Selangor mendakwa kerajaan Negeri Sembilan gagal menjaga kebajikan rakyatnya sehingga menyebabkan ramai penduduk berhijrah ke negeri itu.

Datuk Teng Chang Khim menempelak Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menuduh negeri itu gagal membantu rakyatnya sehingga memaksa mereka meminta bantuan dari negeri jiran.

“Dakwaan MB Negeri Sembilan amat melucukan. Selangor mempunyai lebih daripada 20 program merakyatkan ekonomi yang dilaksanakan mulai 2008 dan Negeri Sembilan tidak ada apa-apa jenis program kebajikan serupa untuk rakyatnya.

“Saya kira keadaan sebaliknya yang berlaku, di mana rakyat Negeri Sembilan berhijrah ke Selangor untuk menikmati kebajikan Selangor, seperti apa yang berlaku di Kuala Lumpur, di mana pada tahun lepas, lebih 70% warga Kuala Lumpur yang hijrah ke Selangor,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, Mohamad mengingatkan penduduk Selangor tidak terpengaruh dengan janji kosong pembangkang yang pandai menabur pelbagai janji, namun tidak mampu menunaikannya.

“Jangan dengar cakap orang (pembangkang)…janji macam-macam. Dia boleh buat janji macam-macam. Janji dulu air percuma…memang percuma pun sebab tidak ada air. Malah, dulu janji kata tidak ada cukai, tapi kini cukai naik berkali ganda.

“Janji dulu nak beri elaun kepada ibu tunggal setiap bulan, tapi tidak ada pun. Bahkan ramai daripada penduduk kaum India di sempadan Selangor-Negeri Sembilan, iaitu di Sepang dan Semenyih, masuk ke Negeri Sembilan minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kita luluskan,” katanya dipetik Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie ketika dihubungi berkata, Mohamad cuba memainkan propaganda murahan serta mencari kelemahan kerajaan Selangor.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah menolak permohonan bantuan rakyat yang menepati syarat.

“(MB Negeri Sembilan) tidak perlu nak mendabik dada, menolong rakyat adalah lebih baik urus dalam diam, kita tak perlu nak heboh-heboh, kita tolong itu biar ikhlas.

“Di Selangor kita bantu bukan sahaja rakyat Selangor, tetapi mereka yang tinggal di sempadan negeri lain, seperti Wilayah Persekutuan, sempadan Perak, Hulu Bernam, Tanjung Malim, malah di sempadan Negeri Sembilan, Lukut yang memohon bantuan kerajaan Selangor, kita tidak pernah menolak, asalkan ianya memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Pautan:

Penduduk sempadan Selangor cari BN Negeri Sembilan untuk bantuan – Mohamad Hasan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.