
Peguam dan aktivis Siti Kasim berkata, beliau menyedari timbalan menteri besar Kelantan itu ada menyenaraikan namanya tetapi timbalan menteri besar itu seharusnya membuktikan beliau dalang dimaksudkan.
“Kalau dalang itu hanya memberi nasihat kepada Orang Asli tentang hak-hak mereka, adakah itu salah? Sepatutnya tak payah orang lain bagi tahu tentang hak-hak Orang Asli.
“Sepatutnya kerajaan negeri kena jaga rakyatnya. Kenapa pula orang lain nak beritahu apa yang mereka perlu buat dari segi hak kalau ditekan dan kehidupan mereka terganggu? Kenapa orang lain perlu beritahu?” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Amar baru-baru ini yang menyatakan isu pembalakan berhampiran kawasan penempatan Orang Asli di Gua Musang dapat diselesaikan dengan baik, jika tiada dalang menghasut masyarakat itu.
Amar berkata, kerajaan negeri sedang meneliti beberapa laporan berkaitan isu itu, hasil perbincangan dengan beberapa laporan berkaitan isu itu hasil perbincangan dengan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Siti menambah, beliau tidak faham mengapa Kelantan mahu menyalahkan pihak lain mengenai perkara terbabit kerana isu itu berlarutan sekian lama.
“Orang Asli dah lama dah (nak) jumpa mereka (kerajaan negeri) berbincang tentang masalah mereka. Dah bertahun. Bila dah jadi (isu) besar, dah kena tekanan daripada rakyat jelata, baru mereka nak sedar?” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya menjaga kebajikan rakyat dan pasti mereka tidak akan merungut sekiranya mempunyai kehidupan yang baik.
Isu pembalakan boleh selesai tanpa dalang hasut Orang Asli, kata Amar