Ribuan terkandas banjir kilat di Pulau Pinang

Penang Banjir LagiGEORGE TOWN: Pada sambutan Deepavali, ratusan rumah termasuk sebuah kampung berdekatan Kampung Melayu Air Itam, di sini dinaiki air selepas hujan lebat berterusan melanda Pulau Pinang sejak kira-kira 4 petang
hari ini.

Hujan lebat juga menyebabkan trafik sesak di sepanjang Jalan P.Ramlee, Jalan Paya Terubung, Jalan Thean Teik, Taman Lumba Kuda dan Jalan Masjid Negeri sekali gus menyebabkan beribu-ribu kenderaan terkandas di jalan raya.

Air pada paras lutut dilaporkan melanda di Jalan Thean Teik dan Jalan Masjid Negeri dan kereta tidak boleh melalui kawasan itu menyebabkan kawasan berkenaan terputus hubungan.

Tinjauan Bernama mendapati, Sungai Dondang dan Sungai Air Hitam melimpah melepasi tebing sungai dan menyebabkan banjir kilat.

Sementara itu, penduduk di Kampung Melayu dan di sepanjang Jalan Thean Teik melahirkan rasa terkejut dan menganggap banjir kilat ini sebagai banjir yang paling teruk pernah mereka alami.

V.Visvalinggam dan isterinya K.Vasanthi, yang sedang menyambut Deepavali berkata, mereka tidak pernah menyangka kejadian banjir kilat itu akan memusnahkan sambutan perayaaan itu, kerana banjir kilat tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Hujan lebat berlaku dan mendapati paras air semakin meningkat pada kadar yang membimbangkan. Sejak saya tinggal di sini kira-kira 5 tahun lalu, ini adalah kali pertama kita dilanda banjir kilat,” katanya.

Orang yang tinggal berhampiran kawasan yang terjejas turut membatalkan hasrat untuk bersiar-siar sempena cuti umum, berikutan kesesakan trafik.

Sementara itu, beberapa kawasan rendah di tanah besar turut dinaiki air selepas hujan lebat berterusan lebih 3 jam petang ini antaranya Bukit Mertajam, Simpang Ampat dan Jawi.

Antara kawasan yang dinaiki air pada paras betis dan buku lali itu ialah Permatang Rawa, Jalan Rozhan, Jalan Tasek, Kampung Sungai Kechil, Kampung Nanas dan Kampung Gajah.

Bagaimanapun sehingga 8 malam ini tiada mangsa yang dipindahkan.

Seorang penduduk di Permatang Rawa, Abdullah Ishak, 48, berkata selepas hujan berterusan lebih sejam sejak 4 petang tadi, beliau sekeluarga terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan peralatan elektrik dan perabot ke tempat lebih tinggi.

Katanya, beliau bimbang barang-barangnya rosak kerana kebanyakannya baru dibeli selepas musnah dalam banjir sebelum ini.

“Setiap kali hujan lebat, memang rumah penduduk di kawasan ini akan banjir kilat dan rumah saya yang paling teruk kerana paling hampir dengan sungai. Air akan melimpah membanjiri kawasan rumah saya dahulu,” katanya.