Khairuddin ikrar bantu PPBM dari luar

khairuddin-prbm

PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Khamis lalu, berikrar akan terus membantu parti itu dari luar untuk menambah keahlian dan menumbangkan Umno serta Barisan Nasional.

Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, PPBM tetap kuat dan popular, walaupun selepas beliau meninggalkan parti itu.

“Saya hanya ahli biasa yang amat kerdil. Walaupun saya meninggalkan PPBM untuk tumpu agenda jatuhkan (Datuk Seri) Najib Razak melalui saluran undang-undang, PPBM tetap popular.

“Generasi muda dan rakyat atas pagar tetap memilih PPBM sebagai platform baru perjuangan lawan perdana menteri paling korup serta kerajaan kleptokrasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Khamis lalu, Khairuddin mengumumkan beliau keluar daripada PPBM berkuat kuasa serta-merta, bagi membolehkannya menangani kes mahkamah yang sedang dan akan berlangsung “secara berterusan” selepas ini.

Khairuddin berkata, berita beliau keluar daripada PPBM disebarkan orang Umno yang takut dengan kebangkitan parti baharu berkenaan, dengan cuba mengalihkan perhatian melalui propaganda kononnya penarikan dirinya menunjukkan PPBM bakal hancur.

“Siapalah saya ini yang boleh mengakibatkan PPBM gagal? Saya keluar daripada PPBM tidak meninggalkan sebarang kesan atau impak langsung.

“Ini kerana saya bukan tokoh pemimpin parti. Saya hanya ahli biasa,” katanya yang merayu rakyat terus menyokong parti itu untuk membawa perubahan politik menyeluruh di negara ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Khairuddin keluar daripada PPBM menunjukkan beliau tidak mempunyai keyakinan terhadap masa depan parti itu.

Katanya, Khairuddin sudah pasti akan kekal dalam parti itu, jika beliau yakin PPBM mampu menjatuhkan Umno.

Sementara itu, Khairuddin berjanji akan terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bekas perdana menteri itu adalah segala-galanya bagi beliau.

“Tiada siapa yang boleh pisahkan saya dengan Dr Mahathir kecuali Allah. Selagi hayat dikandung badan, maka selagi itulah saya akan memperhambakan diri untuk Dr Mahathir,” katanya.

PAUTAN:

Khairuddin umum keluar PPBM berkuat kuasa serta-merta

Khairuddin kekal ‘kuburkan BN’ bersama PPBM, kata Anina

Khairuddin tak yakin PPBM boleh jatuhkan Umno, kata Ismail Sabri