JPS: Sistem parit tidak sistematik punca banjir kilat di Pulau Pinang

banjir

GEORGE TOWN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang membuat kesimpulan banjir kilat yang melanda daerah Timur Laut semalam berpunca daripada sistem perparitan tidak sistematik dan hujan lebat berterusan.

JPS dalam laporannya pada Sabtu memaklumkan hujan berterusan selama 3 jam bermula kira-kira 4.30 petang hingga 7.30 malam menjejaskan kira-kira 300 isi rumah serta menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan utama, termasuk Jalan Masjid Negeri, Jalan Thean Teik dan beberapa jalan lain.

JPS juga memaklumkan lokasi terlibat ialah Kampung Dodol, Kampung Makam, Jalan Singgora, Jalan P Ramlee, Jalan Air Terjun, Jalan Makloom, Jalan Gemas, Jalan Paya Terubong, Jalan Batu Gantung, Jalan Masjid Negeri, Jalan Lumba Kuda, Jalan Thean Teik, Jalan Datuk Keramat dan Jalan Terengganu.

Kawasan terlibat ialah kawasan panas terletak berhampiran sungai.

Hujan turut menyebabkan Sungai Pinang, Sungai Jelutong, Sungai Air Itam, Sungai Dondang dan Sungai Air Terjun meningkat daripada paras 300mm kepada 1,200 mm sehingga menyebabkan limpahan.

“Lokasi yang terjejas menerima kadar air hujan banyak menyebabkan air mengalir dengan kadar cepat sehingga mengakibatkan kawasan rendah dinaiki air,” menurut kenyataan JPS semalam.

Sehingga 8.30 malam Sabtu, tiada pemindahan penduduk dilakukan mana-mana agensi kerajaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu mereka yang memerlukan.

JPS juga memaklumkan jabatan berkenaan sudah menjalankan pemerhatian berterusan dalam kawasan pembangunan sekitar Paya Terubung kerana ia berisiko dilanda banjir lumpur.

Dalam laporan itu, JPS turut mencadangkan sistem saliran di setiap kampung dinaik taraf untuk mengelakkan kejadian sama berulang dan kerja-kerja perparitan akan dijalankan di sekitar Jalan Lumba Kuda pada 2017 bagi mengurangkan risiko banjir kilat pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, 9 orang terperangkap dalam sebuah kuil dan sebuah kereta berhampiran kejadian tanah runtuh di Air Itam, semalam, ekoran hujan lebat selama 3 jam di kawasan terbabit.

Kejadian itu berlaku pada jam 6.28 petang antara jalan raya dan laluan ke arah Empangan Air Itam, berdekatan sebuah kuil Buddha.

Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Bagan Jermal dikerahkan ke tempat kejadian dan 4 mangsa yang terperangkap dalam kereta berjaya diselamatkan anggota bomba, manakala mangsa lain enggan meninggalkan kuil.

“Pihak bomba menerima panggilan daripada seorang mangsa yang terperangkap dan memaklumkan kepada kami mengenai kejadian itu…akibat kesesakan lalu lintas, bomba tiba di tempat kejadian pada 7.46 malam,” kata jurucakap bomba dan penyelamat dalam kenyataan semalam.

Pihak berkuasa mengesahkan kawasan berkenaan selamat dan tidak berbahaya serta operasi menyelamat berakhir pada 8.09 malam Sabtu.

Ribuan terkandas banjir kilat di Pulau Pinang