
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kejadian itu berlaku ketika keluarga berkenaan mandi-manda selepas kira-kira 20 minit mendaftar masuk ke taman tema itu pada 3.30 petang.
“Kanak-kanak itu ditemui lemas oleh bapanya S. Surentharan di sebuah kolam renang yang mempunyai kedalaman 5 kaki, tidak jauh dari tempat keluarganya mandi-manda pada 3.50 petang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, pihak pengurusan taman tema membantu keluarga itu membawa mangsa, S. Rishither, 6, yang merupakan anak kedua daripada 3 beradik ke Klinik Kesihatan Tongkang Pechah dan disahkan meninggal dunia di klinik itu yang kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis.
Beliau berkata kes itu dikategorikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.
“Hasil keterangan daripada keluarga mangsa, mereka terdiri daripada 2 keluarga seramai 9 orang datang dari Taman Pelangi, Kluang, ke taman tema air ini untuk berkelah sempena cuti Deepavali,” katanya.