
Peguam dan aktivis itu berkata walaupun kerajaan negeri berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap aktivis Orang Asli itu, namun tindakan berkenaan tidak sepatutnya berlaku.
“Kami akan berjuang dan buat apa saja untuk melindungi Arang Asli. Apa rancangan kerajaan mungkin betul daripada segi undang-undang. Tetapi, daripada segi moral, ia salah.
“Kerajaan negeri sepatutnya membantu mencari penyelesaian yang baik dengan masalah dihadapi Orang Asli Temiar, tetapi sebaliknya mereka menyebelahi pembalak,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Jabatan Perhutanan Kelantan memberi kata dua kepada puak orang asli Temiar untuk menghentikan sekatan di Gua Musang selepas konflik berlanjutan lebih 5 minggu.
Menerusi notis bertarikh 6 November 2016, jabatan itu mengeluarkan arahan kepada kumpulan aktivis yang menyokong Orang Asli itu agar mengosongkan kawasan sekatan dalam tempoh 2 minggu.
Amaran turut diberikan kepada individu yang terlibat dalam bantahan itu dengan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara (Pindaan 1993).
Siti berkata tindakan Arang Asli Temiar itu hanya untuk cuba melindungi hutan simpan di situ.
“Jadi biarkan kes itu dibawa ke mahkamah, dan kami akan menunggu keputusan mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim mengesahkan pihaknya ada memberi notis kepada Orang Asli Temiar untuk menghentikan sekatan di Gua Musang.
Katanya, notis itu selaras dengan undang-undang yang ada.
“Ia selaras dengan peruntukan undang-udang sedia ada. Kita hanya keluarkan notis pengosongan saja,” katanya kepada FMT.