
Pemimpin masyarakat dan pemerhati yang dipetik The Straits Times (ST) berkata, Speaker Parlimen, Halimah Yacob dan bekas menteri, Abdullah Tarmugi berpeluang dicalonkan sebagai presiden republik itu kerana memegang jawatan penting dalam kerajaan melebihi 3 tahun.
Selain itu, Menteri Komunikasi dan Maklumat, Yaacob Ibrahim; Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Masagos Zulkifli serta bekas Menteri Luar, Zainul Abidin Rasheed juga dilihat berpeluang dicalonkan sebagai presiden Singapura.
Bagi calon sektor swasta pula, mereka perlu menerajui syarikat yang mempunyai $500 juta ekuiti pemegang saham berbanding syarat lama iaitu $100 juta modal berbayar dan nama yang disebut-sebut ialah Po’ad Mattar, bekas rakan kongsi di Deloitte & Touche yang menganggotai Majlis Penasihat Presiden.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengumumkan di Parlimen Singapura pilihan raya presiden tahun depan akan dikhaskan kepada calon Melayu sahaja.
Ia bakal menyaksikan presiden Melayu kedua Singapura selepas Yusof Ishak yang memegang jawatan itu dari 1965 hingga 1970.
Halimah, 62, menyertai politik pada 2001 sebelum menjadi menteri pada 2011 dan dilantik sebagai speaker 2 tahun kemudian.
Ahli Parlimen untuk Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee itu berkata, keutamaannya ialah berkhidmat kepada negara dengan menjalankan tanggungjawab sedia ada sepenuh hati.
“Tidak kira apa jawatan kami, yang penting ialah kekal fokus pada misi utama yang sama, iaitu melakukan yang terbaik untuk Singapura.”
Pemerhati politik dari Universiti Pengurusan Singapura, Eugene Tan yang dipetik ST berkata, Halimah yang pernah berkhidmat 33 tahun bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan dengan jawatan terakhir sebagai timbalan setiausaha agung tiada masalah mendapat sokongan gerakan pekerja itu.
“Beliau sebagai ‘minoriti berganda’ menghantar mesej penting, iaitu sebagai orang Melayu beragama Islam dan wanita boleh dipilih ke jawatan tertinggi di negara ini kerana kedua-dua kumpulan itu kurang diwakili di pejabat pemimpin negara,” kata Tan yang merupakan bekas ahli Parlimen.
Pengerusi Persatuan Muslim Profesional, Abdul Hamid Abdullah pula berkata, Halimah mempunyai hubungan baik dengan akar umbi yang tahu kemampuannya.
“Hakikat beliau bertudung bukan penghalang. Beliau diterima baik masyarakat Islam dan bukan Islam.”
Abdullah, 72, pula sedikit terasing kerana bersara daripada politik pada 2011.
Ahli Suruhanjaya Perlembagaan yang mengkaji pemilihan presiden itu berkata, beliau belum mempertimbangkan secara serius, tetapi beberapa rakannya menggalakkan beliau berbuat demikian.
Abdullah pernah dilantik sebagai ahli Parlimen pada 1984 hingga 2011, speaker Parlimen dari 2002 hingga 2011 dan ahli Majlis Presiden untuk Hak Minoriti sejak 2012.
PAUTAN:
Hanya calon Melayu untuk jawatan presiden Singapura tahun depan