
Pengarah Strategik PKR Sim Tze Tzin berkata menyegerakan HSR, yang menghubungkan antara Kuala Lumpur dan Singapura, akan menyebabkan pembaziran berbilion ringgit.
“Menurut pakar ekonomi, HSR memerlukan 140 juta perjalanan setahun untuk ‘balik modal’. Jumlah itu sama dengan 384,000 perjalanan sehari.
“Populasi di Malaysia, Singapura dan pelancong tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sim mendakwa meskipun HSR lebih laju berbanding ETS, perbezaan tempoh perjalanan hanya antara 60 hingga 90 minit saja.
“Bagi penumpang kereta api, perbezaan itu tidak terlalu ketara dan mereka pasti lebih memilih untuk berjimat dalam membeli tiket. Mereka yang hendak cepat tiba di destinasi boleh naik pesawat saja,” katanya.
Sim berkata kos untuk membina HSR dianggarkan antara RM40 hingga RM60 bilion tetapi itu hanya “anggaran konservatif” memandangkan nilai ringgit dan inflasi akan berlaku ketika fasa pembinaannya yang boleh menyebabkan kos lebih tinggi.
“Kemampuan kerajaan untuk membiayai projek itu diragui kerana hutang kerajaan pusat pada masa ini menjangkau RM655 bilion dan kadar faedah dibayar pada masa ini RM73 juta setiap hari.
“Adakah kerajaan akan menjual tanah landasan HSR kepada syarikat dari China atau Jepun bagi membiayai kos tinggi projek itu, sama seperti 1MDB menjual asetnya kepada syarikat China untuk membayar hutang?
“Jika begitu, kami mahu bertanya, berapa banyak tanah akan dikorbankan demi projek mewah itu,” katanya.