‘Kubur’ di sekolah kerajaan bukan isu remeh, kata persatuan guru

‘Kubur’ di sekolah kerajaan bukan isu remeh, kata persatuan guru

NUTP berkata walaupun ia bertujuan pendidikan, pembinaan replika kubur perlu dibuat di kawasan tertutup bagi menjaga sensitiviti pelajar bukan Islam.

Kamarozaman-Abd-Razak
PETALING JAYA:
Isu pembinaan kubur di sekolah bukan perkara remeh, sebaliknya akibat daripada tindakan itu perlu dilihat secara menyeluruh terutama di sekolah kebangsaan di mana pelajarnya pelbagai kaum, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata sekolah kerajaan terutamanya perlu menjaga sensitiviti kaum sebelum bertindak membina replika kubur di sekolah walaupun ia bertujuan pendidikan.

Beliau berkata jangan membina replika kubur di kawasan terbuka jika majoriti pelajar di sekolah itu bukan Islam atau 30% bagi setiap kaum, kerana ia sangat sensitif dan menimbulkan suasana pembelajaran yang tidak selesa.

“Jika majoriti pelajar bukan Islam, maka binalah replika kubur itu di tempat tertutup. Sama juga kalau kita bina replika kubur Cina atau India, ia juga sensitif.

“Ia boleh mengganggu emosi, seeloknya benda sensitif ini dibina di kawasan tertutup, tapi jika sekolah itu majoritinya pelajar Islam tidak mengapa ia dibina di khalayak umum,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pada Selasa, Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy mempersoalkan tindakan SMK Sultan Abdul Samad di Klang yang membina replika kubur di kawasan sekolah dan menyifatkannya sebagai agenda serta menunjukkan sekolah tidak mengambil kira perasaan pelajar dan ibu bapa kaum lain.

“Mereka melakukannya tanpa kebenaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah. Apa yang lebih menghairankan ialah sekolah itu ada 80% pelajar bukan Islam,” kata Waytha.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam siasatan mereka mendapati replika kubur itu dibina bagi tujuan amali mata pelajaran agama Islam untuk pelajar tingkatan 3.
Kamarozaman berkata bagi memastikan isu pembinaan kubur di sekolah tidak mendapat bantahan ibu bapa terutamanya bukan Islam, PIBG perlu mengadakan perbincangan terlebih dulu sebelum membina replika tersebut.

“Saya rasa PIBG perlu berbincang dengan sekolah dan kemukakan bantahan melalui mesyuarat, bukannya mengkritik menerusi media, sebab isu itu terlalu sensitif,” katanya.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata isu pembinaan replika kubur di sekolah ada baik dan buruknya dan ia bergantung kepada sejauh mana teknik penyampaian dan penerangan itu dibuat.

“Usaha itu ada positif dan negatifnya, jika ia tidak dilaksanakan dengan baik, buruk padahnya. Kita jangan lihat dari sudut kaum dan agama, sebab agama hanya satu saja,” katanya.

Kenapa ada batu nisan di sekolah, soal Waytha

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.