
Dr Mahathir bukan satu-satunya bekas perdana menteri yang berani melawan keluarga diraja, tetapi pertengkaran perdana menteri yang lain diselesaikan secara senyap dan tersembunyi.
Pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pernah bercakap mengenai masalah yang dihadapinya dengan kerabat diraja.
“Tunku ada beri anekdot mengenai masalah dihadapinya dengan beberapa sultan menerusi ruangan kolum mingguannya di akhbar selepas beliau bersara,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kritikan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap Dr Mahathir, 91, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Sultan Johor itu dalam temu bual media baru-baru ini mendakwa Dr Mahathir menggunakan “politik kaum” dalam cubaan menghalau pelabur China dari negerinya, Johor.
Sultan Johor mendakwa Dr Mahathir “mencipta ketakutan” dan “menggunakan bangsa untuk memenuhi motif politik”.
Aziz berkata berlaku 2 krisis perlembagaan sepanjang 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
Pada 1983, Dr Mahathir melakukan beberapa desakan menerusi pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan ia termasuk menetapkan had 30 hari untuk Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa veto terhadap undang-undang dan mengehadkan haknya mengisytiharkan darurat.
Cadangan itu mencetuskan kontroversi hebat. Kerajaan pentadbiran Dr Mahathir terpaksa menjalankan kempen umum bagi memberi tekanan kepada golongan diraja untuk bersetuju dengan pindaan itu.
Perubahan itu akhirnya mengurangkan kuasa raja Melayu. Perkenan diraja tidak lagi diperlukan dalam enakmen undang-undang.
Pembangkang mendakwa Dr Mahathir mahu kuasa tertumpu di tangan perdana menteri ketika berlakunya darurat.
Memandangkan Dr Mahathir akhirnya menunjukkan kesanggupan untuk berkompromi, kerabat diraja akhirnya memutuskan untuk membincangkan penyelesaian.
Perlembagaan dipinda lagi, mengembalikan hak Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat dan diberikan 60 hari untuk melewatkan perundangan.
Satu lagi krisis perlembagaan berlaku pada 1993. Ia susulan dakwaan serangan terhadap jurulatih hoki Douglas Gomez di Maktab Sultan Abu Bakar yang dilakukan Sultan Johor sebelum ini di Istana Bukit Serene.
Sultan pada masa itu marah kerana puteranya, Tunku Abdul Majid Idris digantung daripada menyertai semua perlawanan dalam Persekutuan Hoki Malaysia bagi tempoh 5 tahun kerana menyerang penjaga gol pasukan Perak pada 1992.
Tindakan itu menyebabkan pasukan hoki Maktab Sultan Abu Bakar tidak dibenarkan menyertai separuh akhir Persekutuan Hoki Malaysia – Milo Champion Schools beberapa jam sebelum perlawanan bermula.
Gomez mendakwa pemegang jawatan utama dalam Persatuan Hoki Johor “menghancurkan hoki di negeri itu” dan mendesak mereka meletak jawatan.
Sekembalinya ke Johor Bahru, beliau dipanggil menghadap ke istana Johor dan ditahan di sana beberapa jam sebelum beliau dapat mendapatkan rawatan kecederaannya.
Rakyat terkejut dengan kejadian itu dan Dr Mahathir menarik balik imuniti dan kekebalan sultan daripada pendakwaan jenayah.
Perubahan dalam perlembagaan dilaksanakan pada Mac 1993 dan sultan yang melanggar undang-undang boleh didakwa di mahkamah khas.