Sarawak negeri pertama lafaz Ikrar Bebas Rasuah

Sarawak negeri pertama lafaz Ikrar Bebas Rasuah

SPRM berkata inisiatif itu menunjukkan barisan Kabinet Sarawak serius memastikan pentadbirannya dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa.

abang-gopeng
KUCHING:
Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg hari ini mengetuai 9 menteri dan 18 menteri muda negeri melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Majlis disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kwan.

Selesai majlis Abang Johari mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya yang pertama di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Sementara itu, SPRM mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak yang melakar sejarah sebagai kerajaan negeri pertama menandatangani IBR yang diperkenalkan suruhanjaya itu.

SPRM dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini berkata inisiatif itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan pentadbirannya dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa.

SPRM berkata IBR merupakan satu lagi usaha baharu suruhanjaya yang menekankan kepada ikrar serta janji dalam kapasiti individu oleh mereka yang diamanahkan tanggungjawab agar menghindari diri daripada terlibat dalam sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

SPRM berharap inisiatif itu dapat memelihara dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya dan kerajaan Sarawak dalam usaha berterusan untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.