Wartawan CNA masuk hutan Gua Musang tanpa permit

Wartawan CNA masuk hutan Gua Musang tanpa permit

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan berkata 2 wartawan terbabit ditahan semalam kerana tidak meminta kebenaran sebelum memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal.

zahari
PETALING JAYA: Dua wartawan bebas Channel NewsAsia (CNA) ditahan di hutan Gua Musang Kelantan semalam kerana mereka didapati menceroboh kawasan hutan simpan itu, kata Jabatan Perhutanan negeri.

Pengarahnya, Zahari Ibrahim berkata wartawan terbabit tidak mendapatkan kelulusan dan permit daripada jabatannya terlebih dulu sebelum memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK).

Katanya, sesiapa yang hendak memasuki kawasan HSK perlu mendapatkan kebenaran dan mereka dianggap melakukan kesalahan jika gagal berbuat demikian.

“Sebab utama 2 wartawan CNA itu ditahan ialah memasuki HSK tanpa kebenaran dan mengikut undang-undang mana-mana pihak yang ingin memasuki hutan itu perlu ada kebenaran Jabatan Perhutanan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Jabatan Perhutanan Kelantan menahan wartawan terbabit, Jules Ong dan Chitoo bersama 16 Orang Asli kerana didakwa membuat liputan ketika pihak berkuasa merobohkan sekatan dibuat Orang Asli bagi menghalang pembalak memasuki hutan itu.

Zahari berkata mereka ditahan bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat tujuan sebenar wartawan terbabit menceroboh masuk hutan Kelantan.

“Dua wartawan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam, pada hari sama mereka ditahan selepas semua siasatan selesai dijalankan.

“Sepanjang siasatan dijalankan, mereka memberikan kerjasama cukup baik,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan akan dibawa kepada pihak pendakwa raya sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sementara itu, Ketua Biro CNA di Malaysia, Melissa Goh melalui Twitternya memaklumkan Ong ialah penerbit TV bebas yang dilantik CNA untuk menghasilkan dokumentari mengenai penebangan hutan di Kelantan.

“CNA mendapat tahu beliau ditangkap berdasarkan laporan media Malaysia. CNA yang beroperasi di seluruh Asia akan bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana siasatan rasmi,” kata Jabatan Komunikasi Korporat CNA dalam satu kenyataan rasmi susulan penahanan itu.

Zahari berkata orang ramai diminta jangan membuat spekulasi susulan tindakan Jabatan Perhutanan terhadap wartawan dan Orang Asli Gua Musang kerana apa yang dilakukan berdasarkan lunas undang-undang.

“Kami juga sedang menyiasat tindakan Jabatan Perhutanan merobohkan sekatan yang dibuat Orang Asli dan saya nasihatkan orang ramai bertenang, biarkan proses undang-undang dibuat,” katanya.

2 wartawan masih ditahan di Gua Musang, 16 Orang Asli dibebaskan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.