Warga emas antara 8 anggota polis didakwa rasuah

Warga emas antara 8 anggota polis didakwa rasuah

Semua tertuduh didakwa meminta dan menerima wang bernilai RM100 hingga RM3,000 atas pelbagai kesalahan sebagai dorongan membebaskan pesalah.

warga-emas-rasuah
KUALA LUMPUR: Seorang warga emas antara 8 pegawai dan anggota polis dituduh menerima dan meminta rasuah membabitkan nilai suapan RM12,100.

Kesemua tertuduh berpangkat asisten superintenden, lans koperal, koperal dan konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jalan Duta di hadapan 3 hakim berbeza yang menjalankan perbicaraan secara serentak.

Kesemua tertuduh berumur 26-60 tahun didakwa meminta dan menerima wang bernilai RM100 hingga RM3,000 atas pelbagai kesalahan sebagai dorongan membebaskan pesalah pada tahun 2013, 2015 dan 2016 sekitar ibu negara.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 17(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama iaitu dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Kesemua mereka di bicarakan dihadapan 3 hakim berbeza, iaitu Allaudeen Ismail, Madihah Harullah dan Azura Alwi, dan membenarkan tertuduh dijamin.

Tertuduh Koperal Abd Rahim Yusrak, 60, dibebaskan dengan jaminan RM7,000; Konstabel Hafis Hafizi Azhari, 26, RM7,000; Koperal Azuan Khalid, 48, RM10,000; Koperal Zulazri Idris, 29, RM5,000; Asisten Superintenden Zafrul Zulkifli, 37, RM15,000; manakala Lans Koperal Hasirun Abu Hassan, 29, Lans Koperal Saffuan Mat Salleh, 31 dan Lans Koperal Huzzaini Esman, 29 diperintah membayar wang jaminan sebanyak RM10,000.

Mahkamah menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula kes Abdul Rahim dan Hafiz, dan 12 April bagi Azawan dan Zulazri, manakala sebutan semula kes Zafrul, Hasirun, Saffuan dan Huzzaini pada 30 Mac ini.

Terdahulu, Abdul Rahim hadir ke mahkamah dalam keadaan uzur dan bertongkat sambil ditemani anak lelakinya berserta pegawai SPRM.

Beliau didapati bersalah kerana meminta suapan daripada Alif Faisal Amran RM1,500 tetapi menerima RM100 untuk menyelesaikan kesalahan trafik serta tidak menahan Hariz Zaifan Zanua pada 28 September 2013 yang mempunyai rekod orang yang dikehendaki polis mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM.

Abdul Rahim yang masih berhidmat di Ibu Pejabat Polis Derah Sentul kini sedang bercuti sakit bermula Ogos tahun lalu.

Timbalan pendakwa raya terlibat menguruskan kes ialah Ahmad Akram Ghaib, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry. Semua tertuduh akan diwakili peguam masing-masing pada sebutan semula kes penghujung Mac ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.